Keluarga pesakit harus perlu pelajari bantuan pernafasan andai masalah berulangKHAMIS
 ini adalah Hari Jantung Sedunia dan sudah banyak diperkatakan mengenai 
cara mengelak serangan jantung. Namun aspek yang kurang dititikberatkan 
atau sering terlepas pandang adalah kehidupan selepas individu itu 
bergelar pesakit kardiovaskular yang juga pembunuh nombor satu dunia.
  Hakikatnya, selain ubat-ubatan dan rawatan, fasa pasca rawatan 
sakit jantung itu dan mengenal pasti dan menerima peristiwa yang 
mengubah diri individu itu akan membantu atau setidak-tidaknya 
mempercepatkan lagi usaha ke arah pemulihan.
Bagi memastikan anda dapat terus menikmati kehidupan yang sihat dan 
bermakna bersama keluarga dan rakan-rakan, ada beberapa langkah serta 
pengorbanan termasuk mengubah cara hidup.
  Sebenarnya tempoh diperlukan bagi penghidap sebelum menyambung semula 
kehidupan aktif dan kembali bekerja, bergantung kepada langkah-langkah 
yang diambil bagi mengekalkan gaya hidup baru dan bukan hanya setakat 
mengubah program diet dan meningkatkan aktiviti fizikal.  
Keputusan kaji selidik menunjukkan bahawa semakin banyak nyawa 
hilang sejak kebelakangan ini selepas pesakit keluar hospital tanpa 
menyedari mereka perlu memberi lebih perhatian kepada pengurusan sindrom
 koronari akut (acute coronary syndrome, ACS), iaitu terma induk kepada 
mereka yang mengalami serangan jantung atau ancaman sakit jantung akibat
 pengurangan aliran darah ke otot jantung.
  Mereka yang pernah mengalami ACS perlu sedar bahawa penyakit ini 
adalah kronik dan bersifat progresif, tetapi masih boleh diuruskan. 
Langkah yang perlu diambil adalah mencegah daripada serangan jantung 
yang lain dan mengurangkan risiko jangka sederhana dan jangka panjang. 
Anda boleh melakukan langkah-langkah ini jika anda memahami penyakit ini
 dan menyedari risiko yang ada.
  Menghadapi realiti hidup baru ini serta keadaan sebenar kesihatan 
adalah salah satu cabaran yang ditempuhi. Cabaran lain pula adalah 
menguatkan diri untuk melalui terapi pencegahan serta menjadikannya satu
 amalan. 
  Perasaan atau berasakan diri tersisih dan keseorangan adalah reaksi 
semula jadi menghadapi situasi baru ini. Oleh itu amat penting bagi ahli
 keluarga atau penjaga memahami aspek seperti cara penjagaan, penilaian 
dan rawatan sewajarnya yang diperlukan pesakit bagi mengurangkan risiko 
kejadian seterusnya. Sebaik pesakit mengakui dan memahami bahawa 
kerjasama jangka panjang di seluruh rantaian sistem bantuan perlu wujud,
 tanggungjawab bersama menguruskan kehidupan selepas serangan jantung 
akan menjadi semakin mudah. Apa yang penting adalah pesakit perlu 
menyedari bahawa kunci ke arah kehidupan yang produktif selepas serangan
 jantung sebahagian besarnya ditentukan oleh mereka sendiri.
Kitaran rawatan
Walaupun doktor sentiasa bersedia menawarkan nasihat profesional 
mengenai ujian dan ubat yang perlu diambil, pesakit juga harus menyedari
 tanda amaran dan simptom serangan jantung seterusnya.
Sudah tentu pengalaman yang dilalui mengganggu sesetengah pesakit 
apabila mereka meninggalkan persekitaran hospital selepas serangan 
jantung. Di sinilah sokongan pihak keluarga menjadi penting dalam 
membantu pesakit mengubah gaya hidup dan menjalani program pemulihan 
kardium seperti yang dicadangkan atau dinasihati oleh ahli terapi dan 
doktor.
  Ahli keluarga pesakit boleh mempelajari teknik asas bantuan 
pernafasan (CPR). Memberi bantuan kepada seseorang yang mengalami 
serangan jantung pada minit-minit pertama boleh menentukan sama ada 
mereka akan hidup atau mati. Pesakit dan penjaga juga harus tahu angka 
penting yang diawasi berkaitan kesihatan jantung - paras kolesterol (HDL
 dan LDL); glukosa darah dan tekanan darah.  Menguruskan faktor risiko 
ini dengan baik dapat membantu mengurangkan risiko berlakunya darah 
beku. 
  Dalam usaha merawat pesakit ACS, bergantung keadaan penyakit, 
doktor boleh memberi ubat atau mencadangkan prosedur invasif. Antara 
prosedur invasif adalah intervensi koronari perkutaneus (percutaneous 
coronary intervention(PCI), yang mana arteri tersumbat dibuka 
menggunakan alat khas dikenali ‘sten.’ PCI juga dikenali sebagai 
angioplasti. Satu lagi prosedur invasif adalah graf pintas arteri 
koronari yang mana arteri berkenaan (selalunya tersumbat) pada jantung 
dipintas menggunakan vena untuk membolehkan darah mengalir ke jantung. 
  Selain pakar bedah kardiotoraks, peranan intervensi serta bantuan 
diberikan pakar kardiologi membantu pesakit menangani tempoh pemulihan 
yang panjang selepas pembedahan, parut serta sakit juga adalah faktor 
penting dalam pengurusan penyakit jantung pesakit.
  Dari segi ubat-ubatan pula, kewujudan anti platelet di pasaran 
yang mencegah platelet dalam darah daripada melekat dan menjadikan darah
 beku. Ubat-ubat ini diberikan sebagai tambahan atau pengganti ubat-ubat
 lain digunakan bagi mencegah serangan jantung, strok dan pembentukan 
darah beku atau diberikan sebaik saja berlaku serangan jantung untuk 
mengurangkan risiko serangan jantung  seterusnya. Jika diambil atas 
nasihat doktor dan disertakan dengan perubahan amalan gaya hidup, 
sesetengah antiplatelet mampu meningkatkan kadar kejayaan secara 
berkesan untuk pesakit ACS.
  Bagi kehidupan di luar hospital, pesakit yang pernah melalui ACS 
mampu menangani penyakit kronik ini dengan lebih baik hasil rawatan yang
 dipertingkatkan, daripada pembedahan dan terapi intervensi kepada 
ubat-ubatan pencairan darah dan antiplatelet.
  Penjagaan secara menyeluruh oleh doktor, pemberi ubat, ahli terapi
 serta sokongan padu daripada ahli keluarga, sahabat, rakan kerja dan 
penjaga dari komuniti turut membantu menyumbang ke arah pendekatan 
rawatan yang lebih cekap dan mutu kehidupan yang lebih baik buat 
pesakit. 
   
BERITA HARIAN - 25 SEPT 2011