KELANA JAYA: “Kalau diikutkan, giliran saya dan isteri ke Tanah Suci
hanya akan menjadi kenyataan pada 2017, tetapi kami tidak sabar menanti
detik itu dan membuat keputusan mengambil pakej haji melalui syarikat
swasta dan kebetulan pula nama kami tersenarai tahun ini,” kata jemaah,
Matsuri Hassan yang berlepas ke Makkah bersama isteri.
Matsuri, 51, berkata, dia sudah lama mengimpikan saat ke Tanah Suci
bersama isteri tercinta dan kini berharap untuk menyempurnakan ibadat
itu dengan sebaik mungkin.
“Pada mulanya kami bercadang
menunggu giliran yang ditentukan Tabung Haji, tetapi ternyata kami sudah
betul-betul tidak sabar mahu ke sana,” katanya yang ditemui di Kompleks
Tabung Haji, di sini.
Matsuri berkata, dia dan isteri, Faizah Saari, 46, mendaftar dengan
Tabung Haji pada 2006 dan akhirnya membuat keputusan berurusan dengan
syarikat swasta pada tahun lalu.
Menurutnya, mereka sudah
merayu dengan Tabung Haji sebanyak tiga kali, tetapi disebabkan prosedur
mengutamakan pendaftar yang lebih lama, mereka akur.
“Demi
menunaikan hasrat kami ke Tanah Suci, saya dan isteri membuat potongan
gaji sebanyak RM500 setiap bulan walaupun purata gaji kami hanya
mencecah RM2,500 sebulan,” katanya.
No comments:
Post a Comment