oleh ELVIZA
10/19/2011 7:31:04 AM
Tatkala mengikuti
perkembangan Cinderella moden Bhutan, Jetsun Pema, saya tersenyum
sendirian menyaksikan imejan terpapar di media. Gadis itu
bertanggungjawab mencuri hati raja kelima monarki Bhutan, King Jigme
Khesar Namgyel Wangchuk - perkahwinan mereka mendapat liputan luas
seluruh dunia. Ketika memberi komentar kepada media antarabangsa, raja
Bhutan itu berpesan agar kita mengahwini orang yang betul dan pada saat
itu, beliau amat pasti sudah berjumpa pilihan tepat. Suatu kenyataan
longgar tapi kental elemen romantisme dan harapan.
Bhutan – negara kecil di pergunungan Himalaya, terkepit antara China dan
India – bukan kali pertama mencuri perhatian saya. Saya kira mereka ini
lebih mementingkan aspek kepuasan hidup secara rohani bukan mengejar
kekayaan dan pertumbuhan ekonomi sebagaimana lazim negara-negara lain di
peta dunia.
Ketika dunia berlumba untuk meningkatkan pertumbuhan dalam negara kasar,
selaras dengan usaha memperbaiki taraf hidup, raja Bhutan keempat,
Jigme Singye Wangchuck, bertitah beliau lebih
mementingkan Gross
National Happiness (GNH) berbanding Gross Domestic Product (GDP).
Menurut raja itu lagi, sasar pertumbuhan negara Bhutan harus diukur di
atas skala GNH, bukan GDP.
Menarik sekali bukan? Ketika kita berlumba-lumba untuk mencari kepuasan
dalam sistem ekonomi kapitalis yang berajakan wang, Bhutan ambil langkah
unik dalam mengukur dimensi lebih menyeluruh tentang kebahagiaan
seseorang rakyat Bhutan.
Mungkin jika dilihat dari perspektif populasi Bhutan yang sedikit
(700,000 orang setakat Julai 2011) dan rata-rata rakyat merupakan petani
miskin di kaki gunung, GNH di sana amat berbeza dengan Kuala Lumpur
sekiranya diadili dalam skala serupa. Tetapi raja Bhutan keempat itu
tetap bertegas, pertumbuhan ekonomi semata tidak menjamin kepuasan dan
kebahagiaan menyeluruh insan. Dan beliau telah membina empat tiang seri
utama dalam menentukan kepuasan hidup rakyat Bhutan, iiatu pembangunan
sosioekonomi yang sekata; pemuliharaan warisan budaya dan spiritual;
pemuliharaan alam sekitar; dan pemerintahan yang menyeluruh dan
konsisten.
Pertama kali membaca tentang empat pilar kebahagiaan ini pada 2005,
terus-terang saya rasa ketika itu, empat skala di atas akan menjadi
konsep semata, bukan realiti. Mana mungkin kita bahagia atau berasa
separa-bahagia jika sering dibelenggu masalah kewangan dan terperangkap
lumba maraton budaya korporat?
Tapi Khamis lepas telah memaksa saya untuk berfikir semula, sekali lagi
saya diingatkan betapa besar ketentuan ILAHI dan betapa khuluk hidup itu
sangat sementara. Rakan blogger dan teman bertengkar di laman Twitter,
Kharis Idris, telah pergi mengejut untuk bertemu PENCIPTAnya. Baru
berusia 35 tahun, kali terakhir saya bertemu Kharis di Bangsar, beliau
masih tertawa dan sihat walafiat meneguk kopi dan makan aiskrim bersama
saya dan tiga rakan lain. Kutuk-mengutuk sesama sendiri jadi acara utama
petang terakhir itu dan Kharis pergi sebelum saya sempat memohon maaf
jika ada tergores di hati kata yang keluar di skrin Twitter dan mulut
saya.
Pagi 13 Oktober lepas, Kharis keluar berlari, mungkin dalam persediaan
menyertai Putrajaya Night Marathon 2011 yang bakal tiba. Beliau rebah
dan usaha kecemasan untuk memulihkan semula pernafasannya gagal. Saya
sebenarnya tiada kekuatan untuk meneka sebab kematian, sehingga
keputusan autopsinya dikeluarkan. Hati saya berat mengenangkan isteri
dan anak Kharis yang masih kecil, Yanthy dan Yasmin.
Pulang ke rumah setelah arwah selamat dikebumikan, saya teringat kembali
tentang negara Bhutan yang agak berlainan pendekatannya tentang
kehidupan. Hidup ini singkat, terlalu sementara untuk dipenuhi dengan
kebencian sesama sendiri, sikap tamak mengejar duniawi atau berperang
mengejar kuasa. Saya terpanggil untuk memberi analisa semula berkenaan
GNH yang dipelopori Bhutan.
Mungkin sudah sampai masa untuk politikus dan pemimpin kita mengemulasi
sistem yang sama. Kebahagiaan rakyat tidak terletak di perdu kestabilan
ekonomi dan politik semata, harus diambil kira faktor bahawa hidup ini
seketika sahaja, selagi ada hayat jangan disia-siakan dengan duniawi.
Saya akhiri ruangan minggu ini dengan memohon maaf sekiranya pernah
menggores hati pembaca budiman selama berkarya di sini. Benar kata
mendiang Steve Jobs: "Your time is limited, so don’t waste it living
someone else’s life. Don’t be trapped by dogma."
No comments:
Post a Comment