oleh ABDUL JALIL ALI
10/20/2011 7:55:39 AM
Pada usia melewati setengah
abad, saya lupa entah berapa kali telah menukar kad pengenalan (KP).
Tetapi masih jelas dalam ingatan bentuk dan rupa kad pengenalan pertama
yang saya ada ketika berusia 12 tahun. Comel betul wajah saya, macam
bayi!
Selepas kad pertama yang comel itu banyak kali dokumen penting peribadi
tersebut ditukar, bukan sebab hilang tetapi kerajaan memperkenalkan kad
baru yang lebih canggih.
Banyak kali saya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan berbaris panjang lagi berpeluh, untuk menukar kad baru.
Paling akhir kad itu ditukar kira-kira sedekad lalu, namanya pun tidak
lagi kad pengenalan tetapi ‘MyKad’ atau ‘Kad Pengenalan Pintar’ yang
lebih cantik, lebih berciri IT dan dilengkapkan dengan cip keselamatan
tercanggih untuk mengelakkan pemalsuan.
Kini terbukti kad pintar itu pun ternyata tidak berapa pintar, sebab
boleh dipalsukan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Ciri keselamatan pun
jelas tidak selamat, sebab beribu-ribu kad itu telah dipalsukan di
seluruh negara. Sebab itu perlu ada MyKad yang super canggih.
Maka, kalau panjang umur Januari 2012, rakyat Malaysia – termasuk saya –
untuk ke sekian kalinya akan mendapat MyKad baru. MyKad dulu tidak
berapa canggih, yang akan diperkenalkan tahun depan lebih berkualiti,
lebih selamat.
Kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, MyKad
baru itu sesuai dengan peredaran waktu, dan cabaran masa depan, juga
mampu menangani permasalahan yang sering dibangkitkan sebelum ini
termasuk isu pemalsuan.
Setelah beberapa kali diubahsuai dan dimasukkan ciri-ciri keselamatan
paling canggih, tentu sekali dokumen penting itu tidak boleh lagi
dipalsukan oleh mana-mana pihak. Jika selepas ini ada lagi MyKad palsu
itu ertinya apa yang dikatakan ciri selamat itu sebenarnya tidak
selamat.
Apa pun pujian patut diberi kepada JPN yang mempermudah sistem
permohonan dan pembaharuan MyKad. Dulu-dulu kena berbaris panjang,
kemudian menunggu hingga tiga bulan untuk mendapatkannya. Kini tidak
perlu berbaris, dan MyKad boleh siap hanya dalam beberapa hari.
Ada orang tidak tahu pentingnya MyKad, sebab itu mereka mengambil kad
dan membiarkan kad yang telah siap di pejabat-pejabat JPN seluruh
negara. Satu ketika dulu ada lebih setengah juta kad tidak dituntut,
sehingga memenuhi stor JPN.
Kerajaan berbelanja besar untuk menghantar kad-kad tidak dituntut itu
kepada pemiliknya. Malah, pernah kerajaan bercadang untuk memberi hadiah
menerusi cabutan nombor bertuah kepada sesiapa yang datang menuntut
kad. Mujurlah cadangan ‘bergeliga’ itu tidak dilaksanakan, kalau tidak
duit kerajaan banyak dihabiskan untuk membeli hadiah!
Pada hemat saya mereka yang enggan menuntut kad yang telah siap adalah
orang tidak menghormati negara. Mereka adalah warganegara tidak
prihatin. Kerajaan tidak perlu bersusah payah menghantar kad tersebut.
Kalau mereka tidak sudi mengambilnya, musnahkan sahaja kad tersebut.
Harap-harap MyKad baru yang akan diperkenalkan tahun depan tidak
menyusahkan orang ramai. Tidak salah kerajaan menukar kad dari semasa ke
semasa, untuk keselamatan.
Jangan ada lagi kes pemalsuan MyKad
selepas ini. Pihak yang memalsukan MyKad perlu diburu hingga ke lubang
cacing. Mereka musuh negara.
Isu MyKad baru sebenarnya lebih dari sekadar pemalsuan. Ada hal-hal lain
yang perlu juga dijelaskan. Ada pihak melihat niat murni kerajaan ini
sebagai satu sumber rezeki pada pihak-pihak lain.
Seperti yang dibangkitkan oleh M Manogaran, YB pembangkang dari Teluk
Intan, beliau ingin tahu pihak mana yang terlibat dalam pengeluaran
MyKad baru ini? Beliau meminta kerajaan memberitahu syarikat yang telah
ditawarkan kontrak untuk mencetak MyKad baru.
Beliau juga ingin tahu siapa pemilik syarikat yang diberi kontrak
tersebut, dan berapa harga untuk setiap kad baru yang dicetak. Kalau
syarikat dapat RM1 untuk setiap kad baru, tentu lumayan juga jika 10
juta orang memohon kad baru itu tahun hadapan.
Bagi kebanyakan orang tentu tidak kisah menukar MyKad baru asalkan tidak
berbaris panjang dan tidak dikenakan bayaran tinggi. Tetapi bagi orang
seperti YB Teluk Intan kecurigaannya ialah jika ada sesuatu tidak telus
di sebalik pengenalan MyKad tersebut.
Saya percaya kecurigaan itu akan dijelaskan.
No comments:
Post a Comment