Friday, June 26, 2009

Kampung Bujang di India

Kampung Bujang di India





Lebih 100 penduduk lelaki sanggup gotong royong bina jalan untuk dapatkan jodoh

KITA mungkin biasa mendengar gelaran bujang terlajak, tetapi di India, perkataan itu seakan lebih bermakna berikutan kewujudan satu kawasan di pedalamannya yang layak digelar Kampung Bujang.

Inilah keunikan Barwaan Kala - satu perkampungan terpencil terletak di tengah-tengah kawasan bukit bukau dan hutan tebal di Kaimur, wilayah Bihar di utara India.
Berikutan kedudukannya yang terpencil dan terputus daripada dunia luar, kawasan ini cuma dikelilingi bukit bukau yang menghijau serta pondok kayu yang kebanyakannya sunyi.


Namun, di sebalik ketenangan hasil anugerah alam semula jadinya yang menghijau, ia terbukti tidak dapat memadamkan keresahan 120 penduduk lelakinya masih bujang dan berusia semuda 16 tahun hinggalah yang berusia 80 tahun yang merindui kehadiran wanita atau lebih tepat lagi, seorang isteri.

Ramai anak gadis dan wanitanya pula dihantar keluarga untuk tinggal bersama saudara mara di kawasan bandar bagi memudahkan mereka bertemu jodoh.
Berikutan itu, tidak hairanlah kali terakhir majlis perkahwinan diadakan di kawasan ini adalah kira-kira 50 tahun lalu.

Puncanya bukan lagi soal lelakinya berat jodoh, tetapi mereka mengaitkannya dengan hakikat kedudukan perkampungan Barwaan Kala yang sebegitu ceruk dan tersisih.

Selain helikopter, Barwaan Kala hanya boleh dihubungi dengan berjalan kaki. Itupun sukar kerana ia bukan setakat jalan kaki biasa, tetapi menyamai acara merentas desa - perjalanan dua jam turun naik kawasan curam yang bahaya dan menyebabkan ramai wanita dan bakal isteri sebaliknya ‘angkat kaki.’

Mereka membatalkan hasrat berkunjung ke sana pada saat-saat akhir kerana bimbang menemui ajal di kawasan hutan tebal dan bukit bukau itu.
Berikutan kemelut yang seakan sukar dileraikan, penghuni Kampung Bujang ini mengadakan mesyuarat. Mereka akhirnya memutuskan satu-satunya cara bagi mengatasi masalah itu adalah dengan menghubungkan kawasan berkenaan dengan dunia luar, sekali gus membolehkan kehadiran wanita di kawasan itu.

Mereka bersetuju untuk gotong royong membina sebatang jalan raya sepanjang enam kilometer yang diharapkan menjadi jambatan menghubungkan mereka dengan bakal isteri dari kawasan lain.

“Ia memang menyedihkan bagaimana lelaki yang cukup syaratnya dan masih bujang, gagal menemui isteri. Malah bukan saja isteri, wanita pun sukar ditemui di Barwaan Kala,” kata aktivis sosial, Chandrama Singh Yadav kepada media tempatan, baru-baru ini.

Beliau yang terbabit dalam penganjuran projek pembinaan jalan raya berkenaan, berkata ada ramai penduduk wanita di perkampungan lain yang berhampiran dan cara paling berkesan meringankan jodoh lelaki Barwaan Kala adalah menerusi jalan raya.

Projek pembinaan jalan raya di Barwaan Kala bermula enam minggu lalu dan dijangka selesai dalam masa dua bulan. Malangnya, usaha itu pun ada cabarannya yang tersendiri.

Sebelum lelaki bujang ini dapat menemui bakal isteri, mereka perlu berdepan cabaran getir seperti masalah status tanah kerana membabitkan kawasan yang diisytiharkan Mahkamah Agung sebagai kawasan hutan simpan serta ancaman binatang buas seperti harimau dan pemberontak komunis yang bersembunyi dalam hutan berhampiran.

Namun itu semua bukan halangan bagi lelaki bujang ini. Sejak tempoh sebulan setengah lalu, mereka menggunakan cangkul, penyodok serta tulang empat kerat untuk membina jalan raya sepanjang tiga kilometer dan cuma tinggal separuh lagi sebelum projek itu selesai.

“Kami akan menyiapkannya supaya dapat berkahwin seperti orang lain,” kata salah seorang penduduk, Sheo Karwar, 28 tahun.

Apa yang pasti, harapan Sheo dan 119 lelaki bujang lain, masih tinggal harapan buat masa ini. Biarpun jalan raya sudah terbentang, terbukti banyak halangan lain yang perlu ditempuh sebelum bergelar suami. Malah andai jalan raya sudah terbentang sekali pun, hanya masa dapat membuktikan sama ada Barwaan Kala dapat dipenuhi hilai tawa pengantin baru atau kekal sebagai Kampung Bujang.

INFO: Usaha buru wanita
  • Di Britain, pada 2007, sekumpulan petani Wales sanggup mengiklankan diri mereka dengan meletak gambar mereka di kotak susu berserta pertanyaan ‘Anda Meminati Petani?’
  • Di Australia, pihak berkuasa kawasan Mount Isa, mempelawa wanita yang dikategori sebagai kurang cantik, berhijrah ke sebuah bandar di Outback, pada tahun lalu.
  • Di Amerika Syarikat, program ‘pesanan pengantin perempuan’ atau padanan pasangan menerusi agensi khas, dimulakan sejak era perlombongan emas di California pada pertengahan 1880-an
  • Di Perancis, Raja Louis XIV mengarahkan wanita muda negara itu dihantar ke jajahan negara itu di Kanada, bagi meramaikan bilangan penduduk berketurunan Perancis, di kawasan itu.

No comments:

Post a Comment