Wednesday, October 26, 2011

Misteri gempa











  




Kehadiran ribuan katak di China sebelum gempa tahun 2008.


HAMPIR setiap bulan kita dikejutkan dengan pelbagai kejadian gempa bumi yang sekali gus mencetuskan persoalan dan kebimbangan - mengapakah kejadian itu kian kerap sehinggakan negara seperti Malaysia yang suatu ketika dulu asing dengan gegaran gempa, kini turut berasakan tempiasnya? Jika keadaan makin kerap, mungkinkah gempa paling kuat bermagnitud 9 ke atas atau ‘ibu’ gempa belum berlaku dan bilakah agaknya?

Kebimbangan itu ada asasnya kerana Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) menganggarkan kira-kira 1.5 juta gempa bumi dengan magnitud 2.0 pada skala Richter dicatatkan setiap tahun. Berdasarkan andaian itu, bererti purata 134 gempa bumi magnitud antara 6 dan 6.9 berlaku setiap tahun.
Tahun ini saja menyaksikan banyak gempa bumi yang di luar jangkaan dan besar berlaku termasuk kejadian di Fukushima, Jepun pada Mac lalu, berukuran 9.0 pada skala Richter yang mengorbankan 20,000 orang, serta mencetuskan bencana nuklear yang terbesar sejak Chernobyl.
Satu lagi gempa besar berlaku di Christchurch, New Zealand pada September lalu dengan 6.3 skala Richter yang membunuh hampir 200 manakala 6 September lalu gempa bumi 6.6 melanda pulau Sumatera, Indonesia, membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang jatuh katil dan seorang lelaki yang terkena serangan jantung ketika melarikan diri waktu kejadian.

Azab Asid

Senjata jenayah asmara: Majoriti kes simbah asid angkara cinta, kerjaya dan pertikaian jiran

AMENEH Bahrami hilang penglihatan dan wajahnya cacat akibat serangan asid yang dilemparkan rakan sekelas di universitinya di Teheran, Iran kira-kira tujuh tahun lalu, hanya disebabkan enggan menerima cinta lelaki berkenaan.

Beliau yang kekal cacat pada wajah dan buta kedua-dua matanya sudah menjalani 17 pembedahan di Sepanyol dibiayai kerajaan Iran bernilai RM107,929 pernah menggemparkan dunia apabila menuntut pesalah yang melemparkan asid itu dihukum supaya kedua-dua matanya dibutakan mengikut prinsip qisas, undang-undang syariah yang diamalkan di Iran.
Namun, pada 31 Julai lalu, Ameneh, 33, memaafkan penyerangnya itu, Majid Movahedi selepas beberapa kali hukuman itu ditangguhkan atas rayuan pesalah. Alasan kemaafan Ameneh, beliau mahu melupakan titik hitam berkenaan walaupun parut kesan kejadian itu masih ada selain berbuat demikian kerana negaranya.
Itu secebis kisah mangsa serangan asid di Iran yang mendapat liputan luas dunia. Hakikatnya, banyak lagi serangan seumpamanya berlaku di seluruh pelusuk dunia dari negara mundur sehingga negara maju seperti Britain, Amerika Syarikat dan Jepun. Malah di Malaysia, serangan yang satu ketika dulu terlalu jarang berlaku, kini kian kerap berlaku.

Gaddafi Dalam Kenangan

Anak, harta lebih RM100 bilion dan pasukan pengawal perawan tonggak Muammar Gaddafi

SUDAH pelbagai gelaran dilontarkan terhadapnya - 'Anjing Gila Asia Barat,' dan 'Pengganas.' Namun, ia sama sekali tidak pernah mencalar semangat pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang memerintah Libya, sebuah negara Afrika yang kaya hasil minyak, sehingga 42 tahun lamanya.
Malah, biarpun sudah berkuasa di negara yang berkeluasan 1.77 juta kilometer persegi itu, Gaddafi yang lebih terkenal sebagai pemimpin berpakaian unik ala jubah dengan topi pelbagai warna senada bajunya, seakan belum puas. Pernah beliau menghimpunkan semua ketua puak Afrika dan mengisytiharkan dirinya ‘Raja Segala Raja’ atau Raja Afrika.
Namun selepas sekian lama mengamalkan sikap ‘muka tebal’ dan meneruskan pentadbiran mengikut tindak tanduknya selain pernah dipulaukan kerana dituduh terbabit dalam keganasan, beliau kini parah dek tentangan rakyatnya sendiri sejak Februari lalu yang turut dikatakan hasil mainan tangan ghaib pihak Barat. Tentangan yang disusuli bedilan Tentera Bersekutu - Amerika Syarikat dan Eropah, Ahad lalu menerusi Operasi Odyssey Dawn atas alasan mahu memaksa Gaddafi menghentikan serangan terhadap rakyatnya sendiri. Antara yang terkorban termasuk anak lelakinya, Khamis yang turut memberi tamparan hebat kepada Gaddafi.

Rentetan peristiwa itu melonjakkan nama Gaddafi di persada antarabangsa yang sebelum ini suam-suam kuku. Bagaimanapun, selain mengenali dirinya sebagai pemimpin yang kini berdepan ujian paling getir, hakikatnya lelaki yang mengakui dirinya raja dua benua - Arab dan Afrika itu juga seperti insan lain, ada kehidupan peribadi dan keunikan yang menjadikannya istimewa berbanding pemerintah lain.

Peka lelah

LUSA adalah Hari Asma atau Lelah Sedunia, tetapi sejauh manakah kita menyedarinya? Hakikatnya, berbanding penyakit jantung, diabetes atau kencing manis dan darah tinggi yang lebih dikenali, penyakit asma pula lazimnya lebih ‘dihayati’ penghidap dan keluarga mereka yang lebih maklum kesan atau komplikasi fizikal, psikologi dan sosial akibat asma.

Malah, berbanding penyakit lain, asma sebaliknya boleh diurus dan dikawal. Malangnya, di sebalik kesedaran itu, penyakit ini masih mencatatkan peningkatan yang membimbangkan kerana tidak dikawal dan diuruskan dengan baik.
Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datuk Dr Abdul Razak Muttalif, menjelaskan menerusi kajian yang dijalankan berkaitan pengurusan dan kawalan asma di Malaysia, mendapati 30 hingga 40 peratus pesakit asma terganggu kualiti hidupnya (tidak dapat bekerja dan bersekolah) dan 30 hingga 40 peratus lagi tidak dapat menyertai aktiviti sukan, aktiviti fizikal atau bersantai.
“Ini menunjukkan asma di negara ini memang tidak dikawal dengan baik terutama pengurusan rawatan yang mana ubat hanya digunakan bila sakit saja disamping pengambilan ubat yang tidak teratur dan salah.

Obses kurus

Farahvina Kaur tertekan, degupan jantung rendah gara-gara mahu langsing

“USIA saya hanya 14 tahun apabila rakan sekolah dan saudara mara menegur peha saya besar dan ejek muka saya bulat. Saya tertekan dan berasakan diri tidak sempurna. Setiap kali memandang cermin, saya benci melihat imej badan yang terpampang.

“Ketika itu, bermulalah keinginan melampau untuk kurus dan melakukan apa saja demi mencapainya. Saya muntahkan makanan dan mula menghukum diri jika gagal menurunkan berat badan.”
Begitulah trauma Farahvina Kaur, 21, ketika berkongsi derita anoreksia dialaminya sejak tujuh tahun lalu, dalam satu pertemuan dengan SIHAT, baru-baru ini. Anoreksia - masalah tabiat makan celaru yang bukan setakat membabitkan aspek pemakanan tetapi turut menyentuh sudut psikologi penghidapnya.
Mengimbas kembali episod suram itu, Farahvina berkata kerana tidak tahan sering menjadi bahan ejekan, dia berubah menjadi rendah diri dan berasakan diri serba tidak sempurna. Rutin hariannya - mencubit bahagian berlemak di tubuh dan mengukurnya. Bayangkan sejak usianya masih belasan tahun dia sudah mula berjinak-jinak dengan pelbagai cara untuk menghilangkan berat badan tetapi tidak berjaya kerana kurang pengetahuan mengenai cara paling mudah dan berkesan.

“Keadaan bertambah teruk apabila menyertai Latihan Khidmat Negara. Selama tiga bulan, saya memilih untuk mengelak nasi sebaliknya makan empat keping biskut setiap kali waktu makan menyebabkan berat badan turun mendadak daripada 46 kilogram kepada 38 kilogram sejurus tamat latihan,” katanya turut melakukan senaman secara kerap serta hanya memakan gula dalam kuantiti kecil bagi membekalkan tenaga saja.

Pulih serangan jantung

Keluarga pesakit harus perlu pelajari bantuan pernafasan andai masalah berulang

KHAMIS ini adalah Hari Jantung Sedunia dan sudah banyak diperkatakan mengenai cara mengelak serangan jantung. Namun aspek yang kurang dititikberatkan atau sering terlepas pandang adalah kehidupan selepas individu itu bergelar pesakit kardiovaskular yang juga pembunuh nombor satu dunia.

Hakikatnya, selain ubat-ubatan dan rawatan, fasa pasca rawatan sakit jantung itu dan mengenal pasti dan menerima peristiwa yang mengubah diri individu itu akan membantu atau setidak-tidaknya mempercepatkan lagi usaha ke arah pemulihan.
Bagi memastikan anda dapat terus menikmati kehidupan yang sihat dan bermakna bersama keluarga dan rakan-rakan, ada beberapa langkah serta pengorbanan termasuk mengubah cara hidup. Sebenarnya tempoh diperlukan bagi penghidap sebelum menyambung semula kehidupan aktif dan kembali bekerja, bergantung kepada langkah-langkah yang diambil bagi mengekalkan gaya hidup baru dan bukan hanya setakat mengubah program diet dan meningkatkan aktiviti fizikal.

Keputusan kaji selidik menunjukkan bahawa semakin banyak nyawa hilang sejak kebelakangan ini selepas pesakit keluar hospital tanpa menyedari mereka perlu memberi lebih perhatian kepada pengurusan sindrom koronari akut (acute coronary syndrome, ACS), iaitu terma induk kepada mereka yang mengalami serangan jantung atau ancaman sakit jantung akibat pengurangan aliran darah ke otot jantung.

Mereka yang pernah mengalami ACS perlu sedar bahawa penyakit ini adalah kronik dan bersifat progresif, tetapi masih boleh diuruskan. Langkah yang perlu diambil adalah mencegah daripada serangan jantung yang lain dan mengurangkan risiko jangka sederhana dan jangka panjang. Anda boleh melakukan langkah-langkah ini jika anda memahami penyakit ini dan menyedari risiko yang ada.

Menghadapi realiti hidup baru ini serta keadaan sebenar kesihatan adalah salah satu cabaran yang ditempuhi. Cabaran lain pula adalah menguatkan diri untuk melalui terapi pencegahan serta menjadikannya satu amalan.
Perasaan atau berasakan diri tersisih dan keseorangan adalah reaksi semula jadi menghadapi situasi baru ini. Oleh itu amat penting bagi ahli keluarga atau penjaga memahami aspek seperti cara penjagaan, penilaian dan rawatan sewajarnya yang diperlukan pesakit bagi mengurangkan risiko kejadian seterusnya. Sebaik pesakit mengakui dan memahami bahawa kerjasama jangka panjang di seluruh rantaian sistem bantuan perlu wujud, tanggungjawab bersama menguruskan kehidupan selepas serangan jantung akan menjadi semakin mudah. Apa yang penting adalah pesakit perlu menyedari bahawa kunci ke arah kehidupan yang produktif selepas serangan jantung sebahagian besarnya ditentukan oleh mereka sendiri.

Kitaran rawatan

Walaupun doktor sentiasa bersedia menawarkan nasihat profesional mengenai ujian dan ubat yang perlu diambil, pesakit juga harus menyedari tanda amaran dan simptom serangan jantung seterusnya.

Sudah tentu pengalaman yang dilalui mengganggu sesetengah pesakit apabila mereka meninggalkan persekitaran hospital selepas serangan jantung. Di sinilah sokongan pihak keluarga menjadi penting dalam membantu pesakit mengubah gaya hidup dan menjalani program pemulihan kardium seperti yang dicadangkan atau dinasihati oleh ahli terapi dan doktor.

Ahli keluarga pesakit boleh mempelajari teknik asas bantuan pernafasan (CPR). Memberi bantuan kepada seseorang yang mengalami serangan jantung pada minit-minit pertama boleh menentukan sama ada mereka akan hidup atau mati. Pesakit dan penjaga juga harus tahu angka penting yang diawasi berkaitan kesihatan jantung - paras kolesterol (HDL dan LDL); glukosa darah dan tekanan darah. Menguruskan faktor risiko ini dengan baik dapat membantu mengurangkan risiko berlakunya darah beku.

Dalam usaha merawat pesakit ACS, bergantung keadaan penyakit, doktor boleh memberi ubat atau mencadangkan prosedur invasif. Antara prosedur invasif adalah intervensi koronari perkutaneus (percutaneous coronary intervention(PCI), yang mana arteri tersumbat dibuka menggunakan alat khas dikenali ‘sten.’ PCI juga dikenali sebagai angioplasti. Satu lagi prosedur invasif adalah graf pintas arteri koronari yang mana arteri berkenaan (selalunya tersumbat) pada jantung dipintas menggunakan vena untuk membolehkan darah mengalir ke jantung.

Selain pakar bedah kardiotoraks, peranan intervensi serta bantuan diberikan pakar kardiologi membantu pesakit menangani tempoh pemulihan yang panjang selepas pembedahan, parut serta sakit juga adalah faktor penting dalam pengurusan penyakit jantung pesakit.

Dari segi ubat-ubatan pula, kewujudan anti platelet di pasaran yang mencegah platelet dalam darah daripada melekat dan menjadikan darah beku. Ubat-ubat ini diberikan sebagai tambahan atau pengganti ubat-ubat lain digunakan bagi mencegah serangan jantung, strok dan pembentukan darah beku atau diberikan sebaik saja berlaku serangan jantung untuk mengurangkan risiko serangan jantung seterusnya. Jika diambil atas nasihat doktor dan disertakan dengan perubahan amalan gaya hidup, sesetengah antiplatelet mampu meningkatkan kadar kejayaan secara berkesan untuk pesakit ACS.

Bagi kehidupan di luar hospital, pesakit yang pernah melalui ACS mampu menangani penyakit kronik ini dengan lebih baik hasil rawatan yang dipertingkatkan, daripada pembedahan dan terapi intervensi kepada ubat-ubatan pencairan darah dan antiplatelet.

Penjagaan secara menyeluruh oleh doktor, pemberi ubat, ahli terapi serta sokongan padu daripada ahli keluarga, sahabat, rakan kerja dan penjaga dari komuniti turut membantu menyumbang ke arah pendekatan rawatan yang lebih cekap dan mutu kehidupan yang lebih baik buat pesakit.
BERITA HARIAN - 25 SEPT 2011

Saturday, October 22, 2011

Herba-herba Dalam Jamu

Herba Popular Di Dalam Jamu


1. Jintan hitam (Nigella sativia)
Ia lebih dikenali dengan panggilan habbatus sauda. Herba yang berasal dari benua barat daya Asia ini merupakan ubat tradisional paling popular di sini buat seisi keluarga.
Manfaat: Boleh meningkatkan sistem kekebalan tubuh, daya ingatan dan tumpuan, kegiatan hormon, mencegah alahan dan mengatasi gangguan tidur serta tekanan.
2. Misai kucing (Orthosiphon stamineus)
Bunganya ungu berupa misai halus. Tanaman ini boleh didapati di beberapa kawasan perumahan atau taman di sini.
Manfaat: Ia digunakan dalam ubat tradisional Cina untuk penyakit kencing manis. Ia juga dipercayai boleh menghancurkan batu karang, membersihkan toksin dalam badan, mencegah sakit pinggang, sengal sendi dan memperbaiki peredaran darah.
3. Mahkota dewa (Phaleria macrocarpa)
Tanaman berasal dari Papua New Guinea dan Irian Jaya, Indonesia.

Strategi halus mubaligh Kristian




Kenapa orang seperti anda memilih bantuan daripada pihak bukan Islam berbanding bantuan daripada badan kebajikan Islam?

Kebanyakan orang seperti kami ini tidak mempunyai rumah. Walaupun ada pekerjaan, kerana kos sara hidup yang tinggi kerana itu kami tidak dapat sewa rumah, ataupun bilik.

Ada individu penerima bantuan ini adalah orang yang terlepas pandang pihak berkuasa atau pertubuhan kebajikan dan ada yang keluarga sendiri tidak mahu terima kerana keadaan mereka, Isu penyakit kronik, bukan semua orang boleh terima, masyarakat sendiri pun tidak boleh terima.

Pengalaman saya sendiri adalah ketika saya terlantar sakit di rumah, tiada seorang pun jiran atau saudara seagama yang datang menjenguk saya. Sehingga ada seorang pastor yang datang dari jauh, melawat saya ketika saya sakit dan memberi bantuan keperluan asas kepada saya,

Ketika itu saya hairan mengapa imam di kawasan saya ini tidak datang menjenguk, tetapi sebaliknya, orang bukan seagama dengan saya yang datang melawat serta mendoakan saya sembuh.

Kenali insurans haram

SECARA ringkasnya, perbincangan hukum insurans dibincangkan dengan panjang lebar oleh ulama, terutama di kalangan ulama Asia Barat.
Oleh kerana sistem insurans adalah ciptaan yang dikira baru menurut zaman, iaitu sekitar 1666 di London, ia hanya menembusi dunia Islam Arab sekitar 1830.

Insurans konvensional adalah kontrak perniagaan yang termasuk dalam Kontrak Pertukaran Kewangan (‘Uqud Mu’awadat Maliah).

Ia mewajibkan syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada pencarum insurans apabila berlaku beberapa jenis kemalangan atau musibah yang ditentukan di dalam kontrak (aqad) bersesuaian dengan kadar tertentu. Ia juga bergantung kepada jumlah caruman pencarum.


Riba Al-Qardh paling popular

RIBA Al-Qardh adalah kadar atau manfaat tambahan yang melebihi jumlah pinjaman pokok berdasarkan kontrak pinjaman awal yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kepada peminjam.
Riba jenis ini boleh dikira paling popular digunakan di kalangan masyarakat kita hari ini dan boleh dipecahkan kepada beberapa bentuk.

Antaranya, duit berbalas duit yang lebih banyak nilainya atau lebih tepat lagi, pinjaman berbentuk kewangan yang perlu dibayar melebihi nilai yang dipinjam seseorang.
Sebagai contoh, Ali meminjamkan Ahmad wang sebanyak RM2,000, dengan syarat membayar kembali dengan nilai lebih besar seperti RM2,500 dalam masa tiga bulan.

Sebarang pinjaman yang mensyaratkan pertambahan nilai ketika pembayaran semula dalam tempoh waktu itu adalah riba al-Qardh.

Ini adalah daripada jenis riba dalam kategori nilai kewangan berdasarkan faktor masa atau ‘time value of money’ yang diharamkan di dalam Islam.

Konsep ‘time value of money’ adalah satu nilai kewangan hari ini bernilai lebih pada masa depan.

Harta melalaikan insan

MENGUMPUL dan memperbanyakkan harta, pangkat, kuasa dan pengaruh adalah salah satu sifat biasa manusia.
Kita sukakan harta disebabkan manfaat segera yang boleh dinikmati darinya sama ada harta tersebut dalam bentuk wang tunai atau juga aset seperti kenderaan, tanah, rumah, saham dan sebagainya.
Dalam pada itu, terlalu ramai manusia yang menjadikan harta dan wang sebagai objektif utama dalam kehidupannya.

Mungkin pada asalnya niat berkerja dan berusaha adalah untuk mencari kehidupan lebih berkualiti, namun dalam proses pencarian itu, ramai juga yang terpesona dengan kenikmatan segera dari harta ini, lantaran itu kehidupan mula berubah seiring dengan perbuatan mereka.


Harta yang dicari itu bukan lagi untuk membina kehidupan lebih baik dan berkualiti, sebaliknya untuk ditunjukkan secara bermegah-megah dengannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Memperbanyakkan (harta) dan bermegah-megah dengannya itu sesungguhnya telah melalaikan kamu, sehinggalah nanti kamu sampai ke kubur. (At-Takathur, 1-2)

Riba jahiliah masih ujud

DI ZAMAN Islam datang menyinari dunia kegelapan masyarakat jahiliah di tanah Arab, banyak amalan yang dilaksanakan mereka dihapuskan oleh Rasulullah SAW bermula daripada kehidupan seharian hinggalah membabitkan hubungan komunikasi dalam masyarakat.
Bagaimanapun, tidak semua amalan jahiliah itu dibuang terus, sebaliknya sebahagiannya diterima Islam namun dengan beberapa pengubahsuaian., sebagai contoh sistem perhambaan, peperangan, penggunaan wang emas dan perak sebagai mata wang, ‘Aqilah' dalam kes bunuh, qur'ah (cabut undi), jualan muzayadah (lelong) dan banyak lagi.

Semua yang disebut di atas diterima pakai oleh Islam tetapi beberapa sekatan dan pindaan dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW agar ia selari dengan kehendak Islam, supaya tidak terlalu asing dan paling utama selesa dilaksanakan oleh manusia seluruhnya.
Bagaimanapun,Pada masa sama banyak juga amalan jahiliah yang dibuang terus dan digantikan dengan satu sistem baru yang murni lagi adil dan ada antaranya pula diubah suai dengan beberapa langkah alternatif. Daripada senarai panjang itu, amalan jahiliah yang diharamkan terus dan disediakan alternatif salah satunya adalah 'riba jahiliah'.

Faktor-faktor perceraian

PENDEDAHAN Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha, menerusi kajian yang dibuat pada 2008, mendapati wujudnya potensi tinggi berlakunya perceraian dalam usia perkahwinan 10 tahun ke bawah.
Dalam kajian pada 2007 pula, Jakim mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian dan bagi tempoh enam hingga 10 tahun pula mendapati 27.7 peratus bercerai.

Ini bererti tempoh 10 tahun pertama adalah paling kritikal kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan perceraian.
Berdasarkan rekod 2009, 135,136 perkahwinan didaftarkan manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan.

Di negara kita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diwujudkan bagi menjaga kebajikan wanita supaya tidak teraniaya, tertindas, ketinggalan dan seumpamanya.

Kelebihan Bulan Zulhijjah

BULAN Zulhijjah, khususnya 10 hari awalnya, adalah peluang kedua selepas Ramadan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan serta keampunan Allah SWT selain daripada pahala amalan.
Rasulullah SAW menyebut: “Sebaik-baik hari di dunia adalah 10 hari itu.” (Riwayat al-Bazzar: Albani)

Ini juga dinyatakan dalam firman Allah SWT bahawasanya: “Demi Fajar dan hari-hari yang 10.” (Al-Fajr, 1)

Majoriti ulama menyatakan 10 hari itu merujuk kepada hari pertama hingga 10 Zulhijjah dan bukan 10 terakhir Ramadan. (Zad Al- Ma’ad, Ibn Qayyim)


Ia juga disebut oleh baginda Rasulullah SAW bahawasanya: “Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan daripada 10 hari ini.” (Riwayat Al-Bukhari)

Sebagaimana kita sedia maklum, beberapa amalan digalakkan untuk sepanjang 10 hari terawal Zulhijjah yang diketahui sangat besar pahalanya, seperti:

Usah ambil hak orang

BAGI mengingatkan umat Islam mengenai hal ini, Allah SWT berfirman: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah: 188)
Imam ibn Al-Arabi menegaskan, ini adalah satu daripada kaedah utama dalam muamalat Islam dan asas bagi semua kontrak pemilikan. Erti ‘makan’ dalam ayat itu ialah penerimaan pemberian dan penguasaan. Digunakan lafaz ‘makan’ sebagai perumpamaan saja.

Manakala maksud al-bathil menurut Ibn Al-Arabi: “Apa saja yang tidak halal menurut syarak seperti riba, gharar dan seumpamanya yang tiada satu faedah dan manfaat (buat Islam).”

Imam Al-Qurtubi pula memasukkan perjudian, pertaruhan, penipuan, rampasan, khianat, mengingkari hak orang lain yang sebenar, mengambil hak orang lain tanpa direstuinya, upah pelacuran, upah tukang tilik, bomoh, harga dan untung jualan arak, babi serta yang memang jelas menyalahi hukum Islam adalah tergolong dalam makanan harta secara batil.


Hutang galak kekufuran

KEADAAN umat Islam semakin memilukan apabila aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini. Ia mungkin tidak pelik bagi yang tidak berkemampuan, tetapi menjadi kaedah dan teknik terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan serta mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.
Maka lahirlah ramai individu yang mampu membuat pembayaran secara tunai tetapi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah, iaitu jika membayar secara tunai mereka akan rugi.

Ini satu fenomena kurang sihat, tapi dianggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat mengenai bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramai peminjam enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta dan syarikat mereka hingga ada yang lebih rela diisytiharkan muflis asalkan tidak perlu membayar hutang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.

Nasi ayam istimewa

ALOR SETAR: “Anda boleh makan nasi ayam dan minum sebanyak mana disukai,” kata pemilik restoran Belinda Nasi Ayam, Rose Belinda Jusoh, 36, apabila memberikan makan percuma sekali sebulan kepada pelanggan bertuahnya sebagai daya tarikan.
Rose Belinda yang mengusahakan restoran di Pusat Perdagangan Tuanku Haminah, Mergong, di sini, berkata setiap pelanggan yang berkunjung ke premisnya antara 15 hingga 20 haribulan setiap bulan mulai jam 12 tengah hari hingga 2 petang berpeluang menikmati makan percuma.

“Kami memilih tarikh itu kerana ia adalah pertengahan bulan di mana wang gaji orang ramai selalunya semakin berkurangan sekali gus dianggap amat sesuai untuk mereka menikmati makanan percuma.
“Bagaimanapun, kami juga tidak menyatakan tarikh secara spesifik kerana mahu ada elemen kejutan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di restorannya, di sini, kelmarin.

Lambaian Kaabah: Tidak perlu tunggu 2017

KELANA JAYA: “Kalau diikutkan, giliran saya dan isteri ke Tanah Suci hanya akan menjadi kenyataan pada 2017, tetapi kami tidak sabar menanti detik itu dan membuat keputusan mengambil pakej haji melalui syarikat swasta dan kebetulan pula nama kami tersenarai tahun ini,” kata jemaah, Matsuri Hassan yang berlepas ke Makkah bersama isteri.
Matsuri, 51, berkata, dia sudah lama mengimpikan saat ke Tanah Suci bersama isteri tercinta dan kini berharap untuk menyempurnakan ibadat itu dengan sebaik mungkin.

“Pada mulanya kami bercadang menunggu giliran yang ditentukan Tabung Haji, tetapi ternyata kami sudah betul-betul tidak sabar mahu ke sana,” katanya yang ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini.
Matsuri berkata, dia dan isteri, Faizah Saari, 46, mendaftar dengan Tabung Haji pada 2006 dan akhirnya membuat keputusan berurusan dengan syarikat swasta pada tahun lalu.

Menurutnya, mereka sudah merayu dengan Tabung Haji sebanyak tiga kali, tetapi disebabkan prosedur mengutamakan pendaftar yang lebih lama, mereka akur.

“Demi menunaikan hasrat kami ke Tanah Suci, saya dan isteri membuat potongan gaji sebanyak RM500 setiap bulan walaupun purata gaji kami hanya mencecah RM2,500 sebulan,” katanya.

Rakyat kita paling ramai layari web songsang

SHAH ALAM: Membimbangkan apabila Malaysia negara ketiga di Asia mempunyai bilangan pengguna aktif laman web gay berpusat di Amsterdam selepas Filipina dan India.
Bilangan pengguna aktif laman web itu di Malaysia juga lebih ramai berbanding negara mengamalkan seks terbuka seperti United Kingdom yang menduduki tangga ke-11 dan Amerika Syarikat di tangga ke-12.

Laman web antarabangsa sememangnya tidak asing lagi di kalangan kaum gay itu turut menawarkan pelbagai kemudahan termasuk muat turun video lucah, majalah dan khidmat teman sosial.
Selain itu laman web golongan itu dilayari hampir 10,000 pengunjung sehari turut menyenaraikan kelab khusus golongan gay dari luar negara yang ingin berkunjung ke Malaysia.

Ia turut menyediakan khidmat tukang urut tempatan, lengkap dengan alamat dan nombor telefon. Golongan terbabit boleh memuat turun aksi mengghairahkan dan berinteraksi dengan ahli secara langsung.

Dosa besar

JOHOR BAHRU: “Berdosa besar bagi wanita yang sudah bersuami menjalinkan hubungan dengan lelaki lain sehingga membawa kepada keruntuhan rumah tangganya.
“Sepatutnya, sebagai isteri, wanita perlu hormat dan taat pada suami lebih-lebih lagi suami yang baik budi pekerti,” kata tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din.

Beliau diminta mengulas berkaitan wanita yang sanggup membayar wang tebus talak semata-mata untuk bercerai kerana mahu berkahwin dengan teman lelaki.
Menurutnya, ada di kalangan anggota masyarakat yang kurang faham dengan tujuan perkahwinan dan berikutan itu, mereka sanggup melakukan perbuatan seperti wang tebus talak.

Pada masa sama, menurut Abu Hassan, tebus talak juga bukan peluang untuk mencari wang.

“Ada lelaki yang enggan menerima wang tebus talak kerana ia membabitkan maruah, tetapi bagi lelaki yang menerimanya kerana semata-mata mahukan wang, mereka boleh dianggap dayus,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, isteri boleh meminta cerai daripada suaminya kerana beberapa perkara seperti lelaki berkenaan mati pucuk atau berlaku zalim terhadap mereka.

“Bagi kes berkenaan, ia dibolehkan kerana perkara itu mendatangkan kemudaratan kepada isteri,” katanya.
Laporan muka depan Harian Metro kelmarin mendedahkan Normah, 31, yang sanggup membayar wang tebus talak RM20,000 kepada suaminya semata-mata mahu berkahwin dengan teman lelaki.

Normah yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, menyatakan suami yang dikahwini selama lima tahun seorang yang baik dan tidak pernah membuat sebarang kesalahan sepanjang perkahwinan mereka.

Sentiasa berwuduk elak dipukau

KUALA LUMPUR: “Cara paling mudah seseorang itu mengelakkan diri daripada terkena ilmu pukau ialah dengan sentiasa berada dalam keadaan berwuduk supaya jin dan syaitan tidak dapat menguasai diri kita.
“Latihan seperti itu perlu diamalkan supaya niat jahat seseorang itu tidak berjaya kerana hanya wuduk mampu mematahkan semua niat jahat ingin diperlakukan kepada kita ,” kata Pengasas Pusat Rawatan Terapi al-Quran Darul Hikmah, Abdul Malek Abdul Ladzim Al Azhari.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang pesara yang kerugian RM50,000 selepas dipukau seorang lelaki berperwatakan alim dengan hanya menepuk bahu.

Friday, October 21, 2011

Murtad dan bandar Oxford


Saya menganggap Bandar Oxford ini jauh lebih indah dari kebanyakan bandar lain di United Kingdom dan Eropah, termasuk London. Bahkan tiada bandar yang seumpamanya di dunia muslim kita. Ia sebuah bandar ilmu.

Kebanyakan mereka yang sibuk berjalan pantas di jalan-jalan Oxford ini ialah pelajar, pengajar dan pengkaji. Lebih empat puluh kolej ilmu bersejarah lagi berprestij di bandar ini. Penuh sejarah, penuh sumbangan melahirkan tokoh-tokoh besar.

Bandar ini penuh dengan aktiviti ilmu di sana-sini setiap hari; seminar, diskusi, forum dan pelbagai. Dalam pelbagai perkara dan bidang, yang mungkin sebahagiannya terlarang dalam negara kita disebabkan unsur ke’jais’an kita. Amat rugi jika ada sesiapa yang datang ke sini tetapi tidak mengambil peduli tentang aktiviti ilmu yang pesat.

NONEDari bangunan-bangunan bersejarah yang memenuhi bandar ini, kita dapat tahu bahawa di sini asalnya tempat pengajian Kristian. Sejak kurun ke-12, Oxford berkembang menjadi bandar ilmu. Ini terutama selepas tahun 1167 apabila Henry II melarang pelajar Inggeris melawat universiti di Paris.

Pada kurun ke-13 bandar ini mula pesat dengan para penuntut ilmu. Antara tahun 1249 dan 1280 diasaskan universiti kolej yang tertua di sini; Merton dan Balliol. Ertinya bandar ini telah berkembang menjadi bandar ilmu sejak 800 tahun yang lalu.
Dibakar hidup-hidup

Fenomena Aziz Bari: Di mana silapnya?


Tidak sukar untuk kita memahami amalan demokrasi di negara ini. Dosa besar dalam amalan demokrasi di Malaysia ialah berkata benar kepada pemimpin. Arak, judi, zina, bukan lagi ‘dosa’.

Budaya ini mengimbau kembali kepercayaan melayu kuno terhadap sultan iaitu sebagai jelmaan tuhan di bumi. Ini jahil dan amalan jahiliyah ini perlu dihapuskan.

Kenyataan Professor Dr Abdul Aziz Bari yang disiarkan di laman berita Malaysiakini telah mencetuskan kemarahan mereka yang jahil tentang peranan sultan sebagai ketua agama Islam berikutan kenyataan Sultan Selangor mengenai pemeriksaan ke atas gereja yang dilakukan oleh JAIS baru baru ini.

Mereka ingin dilihat sebagai Melayu sejati yang mebela ketuanan Melayu walhal tindakan sedemikian boleh dikategorikan sebagai tindakan ‘bodoh’ atau ‘kurang cerdik’ dalam bahasa yang lebih sopan.

Menyamakan titah sultan sebagai titah Tuhan adalah syirik.

Azizbarisme sudah melanda


Saya mengenali Profesor Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah undang-undang perlembagaan saya ketika saya belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Mudah ceritanya, Aziz Bari ialah tok guru saya dan sudah tentulah saya berasa amat terhutang budi kepada beliau.

Saya percaya ribuan pelajar dan bekas pelajar beliau turut berkongsi sentimen yang sama dengan saya.

Saya mengenali Aziz Bari sebagai seorang yang teguh dengan prinsip dan mempertahankan pandangan akademiknya berteraskan hujah ilmiah. Pandangan beliau yang tegas mengenai isu-isu perlembagaan dan kenegaraan sudah tentu perlu dibayar dengan risiko.

Ini yang selalu dipesankan oleh beliau kepada para pelajarnya. Disebabkan kelantangan beliaulah, beliau pernah berkata beliau tidak akan mempunyai peluang untuk menjadi Dekan di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Timbalan Rektor, apatah lagi Rektor UIAM.

Thursday, October 20, 2011

Mimpi atau fikiran ke hadapan?

oleh ELVIZA
10/19/2011 7:31:04 AM


Tatkala mengikuti perkembangan Cinderella moden Bhutan, Jetsun Pema, saya tersenyum sendirian menyaksikan imejan terpapar di media. Gadis itu bertanggungjawab mencuri hati raja kelima monarki Bhutan, King Jigme Khesar Namgyel Wangchuk - perkahwinan mereka mendapat liputan luas seluruh dunia. Ketika memberi komentar kepada media antarabangsa, raja Bhutan itu berpesan agar kita mengahwini orang yang betul dan pada saat itu, beliau amat pasti sudah berjumpa pilihan tepat. Suatu kenyataan longgar tapi kental elemen romantisme dan harapan.
Bhutan – negara kecil di pergunungan Himalaya, terkepit antara China dan India – bukan kali pertama mencuri perhatian saya. Saya kira mereka ini lebih mementingkan aspek kepuasan hidup secara rohani bukan mengejar kekayaan dan pertumbuhan ekonomi sebagaimana lazim negara-negara lain di peta dunia.
Ketika dunia berlumba untuk meningkatkan pertumbuhan dalam negara kasar, selaras dengan usaha memperbaiki taraf hidup, raja Bhutan keempat, Jigme Singye Wangchuck, bertitah beliau lebih

Sekali lagi kena tukar MyKad

oleh ABDUL JALIL ALI
10/20/2011 7:55:39 AM


Pada usia melewati setengah abad, saya lupa entah berapa kali telah menukar kad pengenalan (KP). Tetapi masih jelas dalam ingatan bentuk dan rupa kad pengenalan pertama yang saya ada ketika berusia 12 tahun. Comel betul wajah saya, macam bayi!
Selepas kad pertama yang comel itu banyak kali dokumen penting peribadi tersebut ditukar, bukan sebab hilang tetapi kerajaan memperkenalkan kad baru yang lebih canggih.
Banyak kali saya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan berbaris panjang lagi berpeluh, untuk menukar kad baru.
Paling akhir kad itu ditukar kira-kira sedekad lalu, namanya pun tidak lagi kad pengenalan tetapi ‘MyKad’ atau ‘Kad Pengenalan Pintar’ yang lebih cantik, lebih berciri IT dan dilengkapkan dengan cip keselamatan tercanggih untuk mengelakkan pemalsuan.
Kini terbukti kad pintar itu pun ternyata tidak berapa pintar, sebab boleh dipalsukan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Ciri keselamatan pun jelas tidak selamat, sebab beribu-ribu kad itu telah dipalsukan di seluruh negara. Sebab itu perlu ada MyKad yang super canggih.

Banjir Tahun 2007 Daerah Temerloh


Tahun 2007, banjir melanda Mentakab, Bandar Mentakab, Pekan Mengkarak terputus hubungan. Landasan Keretapi juga ditenggelami air sedalam 15 inci menyebabkan semua perkhidmatan tren terpaksa dibatalkan selama dua hari.

Wednesday, October 19, 2011

Ubat Boleh Bertukar Racun

Ubat bertukar racun


PENGGUNA perlu merujuk kepada pakar perubatan terlebih dahulu sebelum mengambil ubat-ubatan tradisional. - Gambar hiasan



DEWASA ini penggunaan ubat-ubatan tradisional dan komplementari (TCM) semakin mendapat kepercayaan berikutan kerancakan aktiviti penyelidikan dan kecanggihan teknologi yang digunakan pengeluar.
Ubat itu termasuk ubat tradisional Melayu dan Cina, selain rawatan ayurveda, homeopati dan akupuntur.
Bagaimanapun, bukan semua produk yang dikatakan ubat itu boleh menyembuhkan penyakit. Malah, banyak kes berkaitan ubat tradisional dan alternatif sebelum ini didapati mendatangkan mudarat.

Hindari sifat tamak, megah miliki harta

ISLAM tidak menghalang umatnya mencari dan memiliki harta benda yang banyak, malah amat digalakkan demi mencukupi keperluan hidup asalkan halal di sisi agama.

Usaha melengkapi keperluan hidup yang halalsatu kewajiban setiap individu Muslim seperti mana pernah diingatkan oleh Rasulullah yang bermaksud: “Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solat, puasa, dan lain-lain).” (Ath-Thabrani dan Al-Baihaqi)
Pada zaman serba canggih ini masih ada yang enggan bekerja dan lebih suka hidup menganggur serta hanya mengharapkan belas kasihan orang lain. Golongan ini biasanya mencetuskan kekeruhan dalam masyarakat seperti kes penagihan dadah, mencuri dan meragut.