Saturday, October 22, 2011

Strategi halus mubaligh Kristian




Kenapa orang seperti anda memilih bantuan daripada pihak bukan Islam berbanding bantuan daripada badan kebajikan Islam?

Kebanyakan orang seperti kami ini tidak mempunyai rumah. Walaupun ada pekerjaan, kerana kos sara hidup yang tinggi kerana itu kami tidak dapat sewa rumah, ataupun bilik.

Ada individu penerima bantuan ini adalah orang yang terlepas pandang pihak berkuasa atau pertubuhan kebajikan dan ada yang keluarga sendiri tidak mahu terima kerana keadaan mereka, Isu penyakit kronik, bukan semua orang boleh terima, masyarakat sendiri pun tidak boleh terima.

Pengalaman saya sendiri adalah ketika saya terlantar sakit di rumah, tiada seorang pun jiran atau saudara seagama yang datang menjenguk saya. Sehingga ada seorang pastor yang datang dari jauh, melawat saya ketika saya sakit dan memberi bantuan keperluan asas kepada saya,

Ketika itu saya hairan mengapa imam di kawasan saya ini tidak datang menjenguk, tetapi sebaliknya, orang bukan seagama dengan saya yang datang melawat serta mendoakan saya sembuh.


Pernahkah anda memilih atau memohon bantuan dari Pusat Zakat atau Baitulmal sebelum ini dan bagaimana layanan diberikan oleh mereka?

Saya pernah memohon bantuan zakat, tetapi gagal kerana penyakit berjangkit yang saya ada ini sememangnya menjadi masalah kepada mereka.

Pelbagai alasan mereka beri, dengan mengatakan pusat zakat memang tidak ada bantuan atau peruntukan untuk orang seperti saya. Jadi saya rasa kecil hati, bagaimana untuk orang Islam seperti saya memohon bantuan jika di pusat untuk orang Islam sendiri beri layanan sebegini.



Adakah semua orang yang memilih bantuan ini tidak mempunyai pekerjaan dan adakah wujud mereka yang mempunyai pekerjaan tetap tetapi masih berhubung dengan pihak berkenaan?

Saya sendiri bekerja. Pengalaman saya tinggal di jalanan, sudah lama sejak dahulu lagi. Macam-macam dugaan telah saya lalui, sekarang syukur pada ALLAH, saya telah bekerja, tetapi dalam tempoh saya bekerja, saya mendapat banyak bantuan dari pihak bukan agama Islam.

Mungkin, pada pendapat saya, orang seperti saya ini terlepas pandang, tetapi apa yang boleh saya kata adalah strategi yang mereka gunakan adalah sistematik.

Sebagai contoh, untuk mendapat bantuan daripada pertubuhan bukan Islam ini, saya hanya daftar keahlian di jalanan dan terus boleh mendapat bantuan keperluan asas seperti pakaian, makanan dan bukannya wang. Apa yang menarik adalah bantuan tersebut diberi secara berterusan tanpa sebarang kerenah, sehingga membolehkan saya mendapat kerja sehingga sekarang.



Sekiranya anda telah bekerja mengapa masih berhubung dan menerima bantuan daripada mereka dan bukannya badan kebajikan Islam?

Bukannya saya tidak mahu memohon kepada pusat zakat atau Baitulmal tetapi, prosesnya sangat rumit, kerana ada yang memerlukan alamat tetap sedangkan orang seperti saya ini tiada rumah tetap. Sebab itu, bantuan tidak diberi.

Walaupun saya sudah bekerja tetapi kos sara hidup tinggi sehinggakan pendapatan yang saya dapat tidak mencukupi untuk saya mempunyai tempat tinggal.

Sampai sekarang, walaupun saya kerja lebih daripada 12 bulan tetapi untuk sewa bilik, saya masih tidak mampu. Masalahnya adalah untuk mohon bantuan daripada badan Islam perlukan alamat tetap.

Oleh yang demikian, saya tiada pilihan lain untuk pergi semula dengan badan bukan Islam untuk minta bantuan kerana prosesnya mudah dan senang, hanya datang dan terima bantuan.


Ketika berada dalam lingkungan kehidupan seperti itu, adakah anda pernah terfikir untuk mengidamkan kehidupan yang lebih baik termasuk diberi perhatian oleh saudara seagama dan bukannya orang lain?

Saya pernah terfikir mengapa bagi orang bukan seagama dengan saya boleh membantu atas dasar kemanusiaan, bukan atas dasar agama. Kemungkinan ada juga antara rakan-rakan saya yang terdetik hati untuk terpesong, saya tidak nafikan kerana saya sendiri pernah alami perkara ini.

Dalam masa saya baru membina hidup, saya pernah pergi ke gereja untuk makan. Hati saya tersentuh apabila tiba waktu makan tengah hari, mereka panggil pastor baca doa mereka kemudian baru baca doa makan cara Islam.

Kebanyakan yang makan adalah orang Islam yang mempunyai masalah seperti saya, saya terfikir mengapa orang Islam kita tidak buat sebegini? Saya kagum apabila tiba bulan puasa, mereka sanggup kejut orang Islam kita untuk bangun sahur, dan kemudian makan dan tidur semula.


Nota : Siapakah yang harus dipersalahkan. Pada pendapat saya individu yang terlibat tidak harus dipersalahkan. Kalau mereka mempunyai keimanan yang kukuh mereka tidak akan berbuat demikian.
Di manakah wang zakat yang dikutip, adakah ianya diperuntukan untuk orang-orang miskin? Apakah perlu orang yang miskin meminta di Jabatan Pengurusan Zakat atau kakitangan jabatan tersebut yang bertanggung jawab untuk mencari golongan yang layak menerimanya. Duit yang tersimpan terlalu banyak, apakah kita takut kehabisan duit-duit tersebut?Kemanakah duit-duit ini dibelanjakan selama ini? Kami saudara seIslam ingin tahu semua itu. tidakkah kita terfikir mengapa zakat menjadi rukun Islam?Sudah tentu asnab yang lapan akan ada sepanjang zaman.  

No comments:

Post a Comment