Saturday, October 22, 2011

Nasi ayam istimewa

ALOR SETAR: “Anda boleh makan nasi ayam dan minum sebanyak mana disukai,” kata pemilik restoran Belinda Nasi Ayam, Rose Belinda Jusoh, 36, apabila memberikan makan percuma sekali sebulan kepada pelanggan bertuahnya sebagai daya tarikan.
Rose Belinda yang mengusahakan restoran di Pusat Perdagangan Tuanku Haminah, Mergong, di sini, berkata setiap pelanggan yang berkunjung ke premisnya antara 15 hingga 20 haribulan setiap bulan mulai jam 12 tengah hari hingga 2 petang berpeluang menikmati makan percuma.

“Kami memilih tarikh itu kerana ia adalah pertengahan bulan di mana wang gaji orang ramai selalunya semakin berkurangan sekali gus dianggap amat sesuai untuk mereka menikmati makanan percuma.
“Bagaimanapun, kami juga tidak menyatakan tarikh secara spesifik kerana mahu ada elemen kejutan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di restorannya, di sini, kelmarin.


Rose Belinda berkata, idea memberikan tawaran istimewa itu bertujuan menghargai pelanggan di samping bersedekah selain berusaha menarik lebih ramai pelanggan ke restoran itu.

“Jika ia mendapat sambutan, kami akan terus memberikan tawaran istimewa ini setiap bulan,” katanya.

Belinda Nasi Ayam yang beroperasi mulai jam 10 pagi hingga 11 malam setiap hari kecuali Jumaat menawarkan tiga menu utama iaitu nasi ayam biasa berharga RM3.80, nasi ayam special (RM6) dan nasi ayam kampung (RM8). Katanya, antara keistimewaan menu itu ialah resipi kicap istimewa yang dibuatnya sendiri.

Restoran berkenaan yang dibuka sejak 16 September lalu dan mempunyai 10 pekerja itu turut bercadang menambah beberapa menu lain antaranya Nasi Burung Puyuh. Rose Belinda berkata, bagi memastikan keselesaan pelanggannya, dia sangat mementingkan tahap kebersihan di samping menggunakan peralatan dan perabot berkualiti.
“Selain menikmati makanan, saya mahu pelanggan bersantai di restoran ini yang juga berkonsepkan kopitiam,” katanya.

No comments:

Post a Comment