Saturday, July 4, 2009

Masjid Jamek Kg Baru

Menjejak khazanah bernilai

Program Jejak Warisan Masjid memberikan ilmu dan pengalaman berharga buat peserta yang mengikuti acara ini.





TARIKH 5 Mei lalu pasti meninggalkan kenangan paling manis buat negara. Ini berikutan kejayaan Kuala Lumpur dipilih sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009 bagi rantau Asia oleh Pertubuhan Antarabangsa Pendidikan, Saintifik dan Budaya Islam (ISESCO).
Pemilihan itu memberi satu pengiktirafan tertinggi yang diterima Malaysia. Ini kerana bukan mudah untuk melepasi syarat ketat yang ditetapkan dalam pemilihan tersebut.
Kemampuan Kuala Lumpur mengatasi cabaran kota-kota lain di dunia dalam penonjolan budaya Islam membolehkan kejayaan berpihak kepadanya.

Malah, Setiausaha Agung ISESCO, Dr. Abdul Aziz Othman Altwaijri berkata, antara faktor pemilihan itu termasuklah kerana Malaysia merupakan negara Islam contoh yang berjaya memaparkan tahap ketamadunan serta kebudayaan yang tinggi.
Rentetan daripada pengiktirafan tersebut, Jabatan Warisan Negara (Warisan) di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menganjurkan satu program Jejak Warisan Masjid yang diadakan pada 8 Jun lalu.


MASJID Jamek Kampung Baru Kuala Lumpur.




REKA BENTUK tingkap di Masjid India yang terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.



DEKORASI dalaman yang cantik di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.



SENTUHAN hiasan dinding turut ditampilkan dalam ruang solat di Masjid India, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.



MASJID Wilayah Persekutuan menerima sentuhan gaya seni bina Safavid dari Timur Tengah.



PINTU kayu Masjid Jamiul Ehsan, Setapak, Kuala Lumpur.



MASJID Wilayah Persekutuan yang dibina pada 1997 turut menerima sentuhan senibina moden.


Sebanyak tujuh buah masjid telah dijejaki dan dilawati oleh 300 peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan termasuk wakil media dalam usaha memperkenalkan dan memberi kesedaran terhadap kepentingan sesebuah masjid warisan yang harus dipelihara untuk generasi akan datang.
Masjid yang dipilih ialah Masjid Negara, Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Jami'ul Ehsan, Masjid India, Masjid Asy-Syakirin KLCC dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Warisan, Profesor Dr. A. Ghafar Ahmad, program itu bertujuan memberi peluang kepada golongan remaja dan belia mengetahui tentang sejarah dan maklumat mengenai sesebuah masjid.
"Mereka bukan sahaja melihat masjid yang dilawati dari sudut fizikal semata-mata, tetapi juga mengimbau sejarah, fungsi dan keunikan senibinanya.
"Semua peserta dalam program ini telah diberi taklimat oleh pakar-pakar dalam bidang senibina dan sejarah sesebuah masjid. Selain itu, mereka turut diberi pendedahan mengenai peranan masjid dan perkembangan rumah ibadat umat Islam ini di Kuala Lumpur," ujar A. Ghafar ketika ditemui Kosmo! selepas tamat sesi Jejak Warisan Masjid yang berakhir di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.
Tambahnya lagi, kesemua masjid yang dipilih mewakili zaman berbeza dari tahun 1920 hingga 1990-an. Ini jelasnya, bagi memperlihatkan kepelbagaian dan perkembangan reka bentuk sesebuah masjid daripada unsur tradisional dalam ragam hias sehingga menerapkan unsur moden dalam pembinaannya selepas era kemerdekaan.
Turut serta dalam program tersebut ialah wakil dari Pertubuhan Arkitek Malaysia, Mariyah Pit dan A. Najib Ariffin serta Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Dr. Asyaari Muhamad.
Mariyah yang memberi taklimat untuk peserta Kumpulan 1 yang terdiri daripada golongan remaja dan pelajar sekolah berkata, secara keseluruhannya, struktur dan reka bentuk masjid yang ada di Malaysia mempunyai perbezaan yang tersendiri.
"Dalam lawatan sehari untuk program ini, kita dapat melihat perbezaan senibina sesebuah masjid dengan masjid yang lain.
"Ini menunjukkan pembinaan masjid tidak terhad pada reka bentuk tertentu, sebaliknya, ia bebas dan bergantung pada arkitek atau jurutera yang menghasilkan rekaan tersebut.
"Contohnya, penggunaan kubah masjid. Ia bukan satu perkara wajib yang perlu ada untuk pembinaan sesebuah masjid. Walaupun ia dianggap penting satu ketika dahulu, namun kini ia tidak semestinya perlu dibina.
"Pembinaan Masjid Negara, antara yang membuat pembaharuan dalam aspek penggunaan kubah. Ini kerana jurutera dan arkiteknya tidak menerapkan unsur kubah pada masjid tersebut.
"Malah, secara peribadi, saya merasakan pembinaan Masjid Negara adalah yang paling efektif dalam aspek fungsi dan keberkesanan rekaannya," jelas Mariyah sambil menambah bahawa pembinaan Masjid Jamek Kuala Lumpur pula lebih kepada ciri-ciri Inggeris menerusi konsep pavilion yang direka untuk memperoleh peredaran udara yang baik.
Reka bentuk dan penyeliaan Masjid Negara telah dilakukan oleh tiga arkitek dari Bahagian Reka Bentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja Raya Persekutuan. Mereka ialah Datuk Baharuddin Kassim, Datuk Hisham AlBakri dan Howard Ashley dari United Kingdom. Mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk menyiapkannya.
Reka bentuknya sejajar dengan pembinaan bangunan zaman moden dengan senibina Islam masih dikekalkan. Rupa bentuk masjid ini terhasil daripada campuran corak keislaman dan moden serta bersulamkan senibina tempatan.
Bentuk ukiran jerjak besi yang mengelilingi bangunan ini dan dom-dom kecil yang berada di sebelah atas beranda adalah berasaskan reka bentuk Sarasin, tetapi ia disesuaikan dengan rekaan moden.
Sementara itu, Masjid Jami'ul Ehsan pula merupakan salah sebuah masjid tertua dalam sejarah di Kuala Lumpur. Masjid ini asalnya dibina daripada kayu dengan atap berbumbung piramid. Ia dipercayai didirikan di Kampung Puah, Setapak pada tahun 1879 atau lebih awal daripada itu.
Pada tahun 1900 dan diketuai oleh Penghulu Datuk Sati, masjid itu ditempatkan semula di Lot 2772 yang terletak di belakang pasar Setapak. Ia kemudian sekali lagi dipindahkan ke tapak yang asal sekarang pada tahun 1920 dan masih mengekalkan struktur asli bangunan tersebut.
Menariknya, pembinaan masjid asal Jami'ul Ehsan ini tidak menggunakan paku. Justeru, ia memudahkan penduduk untuk memindahkannya.
Asyaari menjelaskan bahawa proses pemuliharaan telah dijalankan di kawasan masjid ini sejak 2006.
Beliau yang menjalankan kerja-kerja arkeologi dalam projek pemuliharaan di masjid warisan ini berkata, sepanjang proses tersebut, banyak artifak-artifak lama ditemui di sekitar kawasan masjid tersebut.
"Antaranya termasuklah penemuan kayu pemukul beduk dan batu nisan yang dipercayai berusia ratusan tahun serta pecahan porselin dan seramik Eropah lama yang tertanam di masjid ini.
"Barangan ini diyakini berasal dari Belanda. Ini kerana corak dan motif yang digunakan pada barangan porselin itu mirip kepada gaya Belanda. Ia kemudian telah disahkan oleh pakar bidang berkenaan setelah kami menghantar barang penemuan tersebut kepada mereka," jelas Asyaari sambil menambah terdapat banyak nilai sejarah yang perlu dipertahankan di Masjid Jami'ul Ehsan ini.
Beralih kepada senibina moden, Masjid Wilayah Persekutuan adalah jawapan dalam program Jejak Warisan ini. Dengan keluasan 47,000 meter persegi, ia dibina pada 1997 dan dibuka secara rasmi pada 25 Oktober 2000 oleh Yang Dipertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalulail.
Sebagai salah sebuah masjid utama di Kuala Lumpur, masjid ini terletak di tapak bersebelahan dengan Kompleks Pejabat Kerajaan di Jalan Duta. Masjid ini diuruskan oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) dan boleh memuatkan seramai 17,000 jemaah dalam satu-satu masa.
Hampir keseluruhan kawasan masjid ini dikelilingi elemen air dalam kolam yang memantulkan imej menarik apabila disinari cahaya mentari. Dewan solat utamanya terletak di tingkat tiga dan empat. Masjid ini turut dilengkapi dengan kemudahan lif, tangga dan eskalator untuk memudahkan jemaah menuju ke dewan solat.
Faktor menarik mengenai masjid ini adalah percampuran antara gaya seni bina Safavid dari Timur Tengah pada reka bentuk keseluruhan, tetapi menggunakan pengaruh gaya Uthmaniyyah pada sebahagian kubah kecil yang menyokong kubah utama.
Di samping itu, dua buah menara yang ada di masjid ini, dipengaruhi elemen binaan gaya Mesir dengan corak tajam di mercu atau puncak menara dan ia diperindahkan dengan seni halus tradisional Melayu terutama pada seni hiasan dalaman.
Menggunakan 22 buah kubah secara keseluruhannya, pembinaan masjid empat tingkat ini mencecah kos sebanyak RM255 juta dan merupakan masjid ke-44 yang dibina oleh kerajaan di Kuala Lumpur.


MASJID Jami'ul Ehsan di Setapak merupakan salah sebuah masjid tertua dalam sejarah pembangunan Kuala Lumpur.



Apa yang pasti, pembinaan masjid sebegini membuktikan kemampuan umat Islam dalam mengangkat ketinggian dan kesucian sesebuah masjid yang menjadi tempat untuk mereka beribadat dan mengabdikan diri pada Ilahi.
Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa kemajuan yang dicapai dalam aspek senibina dan penyatuan antara unsur tradisional serta moden berjaya diaplikasikan dengan cara terbaik dan seimbang tanpa sebarang kecacatan.

No comments:

Post a Comment