Saturday, July 4, 2009

Sejarah Tanjung Piandang, Perak

Apabila ombak menghakis pantai

Menurut cerita lisan penduduk tempatan, kononnya sumpahan seorang anak yatim piatu telah menukar wajah sawah yang subur menjadi laut. Apakah benar cerita ini?





PEMANDANGAN pada hari semalam amat menarik. Kawasan yang landai dan disulami dengan bongkah-bongkah batu di sepanjang pesisir pantainya begitu menarik perhatian. Bongkah-bongkah batu itu disusun bagi mengekang hakisan ombak. Di sepanjang tebingnya pula, terdapat pohon-pohon rendang menjadikan suasana di situ sentiasa redup dan nyaman.
Itulah Ban Pecah yang terletak dekat Tanjung Piandang, Perak yang menjadi tempat bersantai dan menjamu selera bagi penduduk daerah Krian. Terletak kira-kira lima kilometer dari bandar Parit Buntar, lokasi ini dikunjungi sehingga lewat malam untuk menjamu selera. Menu utama pilihan pengunjung adalah kari ikan sembilang yang tidak asing lagi serta mi udang Tanjung Piandang.

Walaupun pantai itu menerima ratusan pengunjung setiap hari, namun tidak ramai tahu bahawa pada awal tahun 1960-an, kawasan itu adalah hamparan sawah padi yang subur menghijau.
Menurut cerita lisan penduduk tempatan, kononnya sumpahan seorang anak yatim piatu telah menukar wajah sawah yang subur menjadi laut. Apakah benar cerita ini?
Kisah ini tidak pernah dilupai oleh penduduk daerah tersebut dan daerah berdekatan seperti Bandar Baharu, Kedah dan daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Antara individu yang masih mengingati cerita ini ialah Masjuri Anang, 82.
Bekas imam di kampung tersebut memberitahu, kisah tersebut menjadi bualan penduduk kampung ketika itu. Namun, meniti peredaran zaman, kisah itu lenyap sedikit demi sedikit.



"Memang benar dahulunya kawasan pantai ini adalah 'lautan sawah' padi yang amat subur iaitu kira-kira 400 hektar luasnya. Ia milik penduduk kampung termasuk dua beradik yang merupakan anak orang berada.
"Hampir dua pertiga tanah sawah itu milik mereka. Sebelum saudara yang sulung meninggal dunia, dia telah meminta adiknya menjaga anaknya dan tanah sawah miliknya.
"Namun, ketika anak-anak itu sedang membesar, bapa saudara mereka telah mengkhianati amanah tersebut. Semua bahagian harta milik si abang tidak diserahkan seperti yang diamanahkan, sebaliknya dibolot oleh si adik," ujar Masjuri.
Ceritanya lagi, untuk menyara hidup, anak yatim yang malang itu terpaksa bekerja keras setiap hari untuk mendapatkan sesuap nasi.
Menurutnya lagi, cakap-cakap masyarakat setempat pada masa itu menyedarkan anak yatim itu bahawa bapa saudara mereka telah mengkhianati amanah ayahnya.
"Dia bertemu bapa saudaranya bertanyakan perkara itu tetapi disangkal dan dihalau keluar.
"Sebelum meninggalkan kampung, anak itu berdoa, 'Ya Allah, jika benar apa yang berlaku ini, engkau tunjukkan balasannya'. Sejak itu, ombak mula mengganas memecah benteng sawah atau ban yang dibina.
"Kawasan bendang dan kebun kelapa bertukar menjadi pantai menyebabkan penduduk kampung cemas.
"Segala usaha dilakukan seperti menambak dan cuba mengalirkan air laut ke dalam kolam, tetapi tidak berkesan sehingga segelintir penduduk kampung menggunakan bomoh dan pawang," ujarnya.


PENDUDUK kampung mendakwa kawasan pantai ini dahulunya merupakan sawah padi.



Perkara itu diakui oleh seorang lagi penghuni kampung itu, Ahmad Mukri, 72.
"Saya masih ingat lagi penduduk mengorbankan seekor lembu putih atas kehendak pawang. Ketika itu, saya berusia belasan tahun dan lihat sendiri tulang-tulang lembu bertaburan di tepi pantai.
Sementara itu, seorang pemilik gerai, Hassan Mohamad, 46, mengakui pernah melihat objek seperti pintu air ban di tengah-tengah pantai ketika air surut.
"Saya masih dapat melihat pintu air jauh ke tengah laut iaitu kira-kira dua atau tiga kilometer dari pantai.
"Pintu air itu jelas menjadi bukti bahawa kawasan laut sekarang adalah ban satu ketika dahulu," katanya.
Seorang penduduk yang sering bermain di kawasan Ban Pecah ketika usia remaja, Ishak Cik, 62, bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza.
Beliau berpendapat, kejadian itu merupakan satu fenomena alam yang berpunca daripada hakisan pantai dan ombak besar yang berlaku sekitar awal tahun 1960-an.
"Saban hari ketika itu, ombak besar melanda kawasan terlibat. Tanah arwah ayah saya seluas 1.61 hektar turut menjadi korban. Apa nak buat, dulu sawah, kini jadi laut. Cuma geran tanah yang tinggal dalam laci," katanya.
Menurut Ishak, akibat hakisan teruk, kerajaan telah menambak pesisir pantai dengan batu sepanjang kira-kira empat kilometer bermula dari Sungai Baru ke Sungai Burung sehingga ke Kampung Nelayan Baru, Tanjung Piandang, Perak.

No comments:

Post a Comment