Saturday, July 4, 2009

Penemuan Emas Di Kaki Bukit, Kedah.

NEGARA

Penduduk gempar jumpa emas di kaki bukit



INILAH ketulan dipercayai emas yang ditemui oleh sekumpulan penduduk di Kampung Jelutong, Tobiar, Pendang semalam.



PENDANG - Ketulan emas muncul di kaki bukit!
Penduduk Kampung Jelutong dekat sini terkejut apabila bukit yang sebelum ini menjadi kawasan kuari tiba-tiba didakwa dipenuhi dengan ketulan emas.
Akibatnya, kawasan itu yang sebelum ini lengang kerana hanya merupakan kawasan kuari kini dipenuhi ratusan penduduk yang berpusu-pusu mengorek tanah untuk mencari emas dalam ketulan batu di kaki bukit berkenaan.

Tinjauan ke kawasan itu semalam mendapati orang ramai menggunakan penukul untuk memecahkan batu di situ dan kemudian mengutip ketul-ketul batu kecil dengan tanggapan ia mungkin logam bernilai tinggi.
Seorang penduduk, Fauzi Puteh, 36, berkata, semuanya bermula daripada cerita penemuan emas oleh seorang pemandu lori yang mengangkut tanah dari bukit berkenaan sejak seminggu lalu.
"Saya tahu mengenainya daripada seorang pemandu lori dan berita itu cepat tersebar ke pengetahuan penduduk kampung. Sekelip mata sahaja kawasan ini menjadi tumpuan dan mereka mengambil kesempatan mencari ketulan emas untuk dijual," katanya ketika ditemui semalam.


ORANG ramai mengorek ketulan batu di kawasan sebuah kuari untuk mencari ketulan emas.



Fauzi yang turut mencari emas di situ menambah, beliau sendiri telah membawa ketulan dipercayai logam berharga itu ke sebuah kedai emas berdekatan dan peniaga emas itu mengatakan ia adalah emas tetapi masih belum matang.
"Pekedai kata memang ia emas tapi masih muda lagi dan belum boleh dijual," ujarnya sambil berharap agar ada pihak-pihak tertentu mengambil sampel ketulan tersebut untuk menilai kandungannya.
"Kalau boleh kami nak tahu juga berapa peratus kandungan emas yang terdapat di dalamnya dan buat masa ini kebanyakan penduduk hanya menyimpan ketulan itu," tambahnya.
Seorang pelajar, Fariz Saad, 15, memberitahu, dia tidak melepaskan peluang untuk mencari ketulan itu sejak tiga hari lalu dan yakin ia merupakan emas tulen.
"Saya rasa ia memang emas kerana kalau kita datang pada waktu malam kawasan ini kelihatan bersinar-sinar," katanya yang telah mengumpul hampir 15 kilogram batu yang dipercayai mengandungi serbuk emas itu.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Saodah Saari, 65, berkata, tanah tersebut merupakan tanah milik anak saudaranya sebelum dijual kepada sebuah syarikat kuari dua bulan lepas. Kawasan itu berbukit dan pernah ditanam dengan pokok getah.
"Memang dulu kawasan ini tanah berbukit tapi tidak sangka pula lepas dijual ada ketulan emas," ujar beliau.


Sumber : Kosmo 4/7/09.



No comments:

Post a Comment